Entry: BANJIR KILAT DI BAKRI Thursday, April 20, 2006



BANJIR KILAT DI BAKRI

Oleh aizan73@yahoo.com (Anakmuar Dot Com)

MUAR : Sikap mengabaikan dan tidak mengambilkira kesan alam sekitar oleh pemaju sebuah projek pembangunan industri di batu 7 1/2, Jalan Bakri - Yong Peng, Muar telah menyebabkan sekurang-kurangnya tiga buah kilang ditengelami banjir kilat pada petang Ahad 16/4/2006 yang lalu.

Kejadian yang mendapat liputan meluas beberapa surat khabar berbahasa cina seperti Nanyang, Sinchew dan Chine Press serta Berita Harian menyatakan hujan yang bermula dari pukul 3.50 petang dan berlanjutan selama dua jam itu telah menyebabkan beberapa mesin dan produk yang masih di dalam proses pengeluaran menjadi rosak atau separa rosak.

Beberapa pekerja syarikat terbabit yang sedang bercuti dan tinggal berhampiran telah dipanggil untuk membantu menyelamatkan peralatan dan barangan yang berharga.

Pengarah Urusan Hak Hwee Sdn.Bhd., Tan Hup Lian, berkata kejadian banjir ini merupakan kejadian ketiga di dalam tempoh sebulan. Kejadian pertama berlaku pada 31 Mac manakala kejadian kedua berlaku pada 6 Mac yang lalu.

Pihak syarikat telah membuat laporan polis bagi kedua-dua kejadian terdahulu selain aduan di Majlis Perbandaran Muar dan Pejabat Tanah Muar.

Berdasarkan siasatan awal yang dilakukan oleh pihak syarikat, banjir dipercayai berlaku akibat kegagalan pemilik dan kontraktor projek perindustrian bersebelahan mengambilkira kesan alam sekitar semasa membuat perancangan projek tersebut.

Ketiadaan sistem perparitan yang sempurna dan penambahan ketinggian aras tanah projek sekurang-kurangnya satu meter lebih tinggi dari aras tanah kilang yang berhampiran dipercayai menjadi punca kejadian banjir tersebut. Ini kerana sistem perparitan sedia ada tidak mampu menampung aliran tanah dan lumpur yang datang dari projek tersebut.

Penimbusan dua buah kolam yang wujud sebelum ini turut memburukkan keadaan. Ketiadaan kolam itu menyebabkan air hujan lambat untuk diserap oleh tanah.

Apa yang dikesali ialah pihak yang berkenaan masih gagal untuk menyelesaikan masalah tersebut walaupun ia telah beberapa kali berulang. Keadaan yang tiada kesudahan ini menerbitkan trauma dan tekanan perasaan kepada pihak pengurusan.

Menurut Encik Saharudin, jurucakap di Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Muar, pihak MPM telah mengeluarkan saman dan arahan pemberhentian projek kerana projek terbabit dijalankan tanpa mendapat kelulusan.

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments