Minyak Punya Hal!

Contoh Surat Kementerian Perdagangan yang boleh mengurangkan kenaikan 30 sen harga minya diesel kepada hanya 15 sen.
Apabila Wak mendapat tahu kerajaan nak naikkan 30 sen harga minyak diesel dan petrol, Wak benar-benar beremosi dan melenting. Wak benar-benar marah pada kerajaan dan kadang-kadang Wak 'termaki' kerajaan di dalam hati. Pada masa tu Wak terfikir yang Wak telah tertipu kerana 'memangkah undi' kerajaan yang akan menyusahkan Wak semula. Wak rasa perasaan marah tu pasti ada dan dikongsi bersama bukan sahaja oleh Wak tetapi juga oleh berjuta rakyat Malaysia.
Siapa yang tak marah apabila minyak dah naik 30 sen. Nampak memang sikit tapi sebenarnya banyak. Wak dah kira-kira, jika dulu Wak isi RM65 kereta Wak untuk pergi-balik ke Johor Bahru dari Muar dan Wak dapat 40.123 liter petrol, tapi sekarang cuma 33.854 liter. Itu bermakna Wak kena tambah lagi 6.269 liter atau RM12.04 untuk Wak sampai ke rumah Wak semula. Banyak tu RM12.04!
Namun apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Datuk Seri Najib Tun Razak memberi penerangan dengan sejelasnya rasional kenaikan harga minyak tu di Rancangan Isu Semasa Khas Bersama YAB di hampir kesemua stesyen TV malam tadi, barulah reda kemarahan Wak.
Sebenarnya perkara tersebut tidak akan menjadi kemarahan rakyat jika pihak kerajaan memberi penerangan sejelasnya dengan segera sebaik sahaja pengumuman kenaikan harga minyak tersebut. Jangan tunggu sehingga esok lusa baru nak beri penerangan. Nasib baik rakyat Malaysia bukanlah rakyat negara lain yang suka berdemontrasi. Jika tidak sudah tentu banyak kemusnahan dan kehilangan nyawa akan berlaku.
Banyak perkara yang rakyat tidak tahu terutama mengenai rebet 15 sen ke atas diesel bagi pengguna kad fleet. Ini bermakna jumlah kenaikan yang ditanggung oleh pengguna kenderaan diesel hanya15 sen dan bukanlah 30 sen seperti yang ditanggung oleh lain-lain kenderaan.
Namun Wak pening sikit apabila TPM berkata satu Dana Khas akan diwujudkan untuk memperbaiki Sistem Pengangkutan Awam ekoran dari subsidi yang berjaya dikurangkan. Wak rasa perkara tersebut sememangnya baik tetapi yang mungkin akan mendapat 'rahmat' dana tersebut hanyalah mereka yang berada di Lembah Klang sahaja dan tidak menyeluruh ke seluruh negara.
Jadi Wak mencadangkanlah agar kerajaan melancarkan kempen penggunaan NGV atau gas asli yang lebih bersih dan jimat. Harganya lebih murah dari petrol dan diesel kerana hanya 68 sen seliter (1/12/2005 - Petronas naikkan harga kepada 81 sen tetapi dibatalkan oleh kerajaan pada keesokan harinya).
Apa kata kerajaan gunakan duit dana hasil pengurangan subsidi itu untuk membina lebih banyak stesen NGV di seluruh Malaysia dan memberi subsidi ke atas alat pengubahsuai yang dikatakan masih mahal ketika ini iaitu di antara RM2,000 - RM3,000. Kerajaan juga boleh mewajibkan kesemua stesen minyak mempunyai sekurang-kurangnya satu pam NGV dengan kos ditanggug oleh syarikat minyak atau pengusaha minyak itu sendiri. Wak rasa cara ini lebih baik untuk jangka panjang terutama untuk alam sekitar kita. Malah dua perkara itulah yang menjadi penghalang dan membelengu pengguna kenderaan untuk bertukar kepada NGV.
Proton dan Perodua juga boleh bekerjasama dengan kerajaan untuk mengeluarkan kereta yang dipasang siap dengan alat pengubahsuai (converter) dengan kos yang disubsidi kerajaan. Tak bagi subsidi pun tak apa kerana apabila Proton dan Perodua membeli alat pengubahsuai itu dengan harga borong, sudah tentu ia akan menjadi lebih murah.
Terdapat satu lagi perkara yang Wak rasa kerajaan perlu pantau iaitu penyeludupan atau penyelewengan subsidi petrol kerajaan oleh mereka yang tidak menggunakan 'fleet card'. Ini kerana walaupun harga diesel tersebut lebih tinggi berbanding jika menggunakan 'fleet card', penyangak-penyangak minyak tersebut masih boleh membuat untung yang banyak.
Untuk mengatasi masalah tersebut, Wak mencadangkan pengunaan MyKad diwajibkan ke atas setiap pembeli minyak diesel. Jadi dengan itu dapatlah kerajaan memantau siapakah yang membeli diesel dengan kuantiti yang banyak. Jika pembeli tidak mempunyai MyKad maka mereka perlu membayar pada harga industri. Dengan cara ini juga kerajaan dapat mengekang pengaliran subsidi diesel kepada pemandu dari negara jiran. Memanglah leceh sedikit cara ini, tetapi lebih baik leceh sedikit daripada duit rakyat disalurkan kepada mereka yang tidak sepatutnya.
Akhir kata Wak harap kerajaan lebih berhati-hati di masa hadapan apabila ingin mengumumkan sesuatu perkara yang bakal mengejutkan rakyat. Pastikan rakyat benar-benar memahami apa yang ingin disampaikan oleh kerajaan dengan sejelas-jelasnya dan dengan segera. Jika tidak perkara ini akan menjadi perbualan rakyat dan akhirnya kerajaan sendiri yang akan menanggung akibatnya.
Tahniah kepada kerajaan kerana berani untuk tidak popular demi memastikan amanah dan tugas dilakukan dengan penuh tanggungjawab.
Posted at Thursday, March 02, 2006 by Wak Dogo
Klik untuk maklumat lanjut!